Upacara, ritual dan dalam amalan Perubatan Tradisional Melayu
Ulik Mayang berasal dari negeri Terengganu dan dikatakan bermula ratusan tahun dahulu. Lagenda menyatakan sekumpulan nelayan telah dilanda ribut di laut sehingga mereka tercampak ke lautan yang bergelora. Mereka dihanyutkan ke pantai, namun salah seorang masih tidak sedarkan diri. Mereka percaya bahawa jasadnya ada di sini tapi jiwanya terperangkap di alam lain. Bomoh dipanggil bagi memberi bantuan.
Main Teri adalah satu upacara perubatan tradisional Melayu yang masih diamalkan dalam kalangan penduduk pantai timur khususnya Kelantan. Upacara main teri ini biasanya dikendalikan seorang bomoh yang lebih dikenali sebagai Tok Pateri atau Tok Teri dan dibantu Tok Miduk iaitu pembantu Tok Teri.
Pada masa sama, main puteri akan dimainkan selama satu hingga tiga malam bertujuan mengubati penyakit terutamanya rasukan makhluk halus. Perubatan tradisional ini unik kerana adanya sekumpulan pemuzik iaitu awak-awak yang akan mengiringi Tok Teri ketika proses merawat pesakit.
Sementara itu, peralatan muzik yang digunakan adalah rebab, gendang, serunai dan canang. Namun begitu, pada kebiasaannya, canang juga boleh digantikan dengan alatan muzik lain seperti dulang atau batil.
Tangas atau bertangas bermaksud memanaskan badan, mandi atau mengasapi dengan wap supaya berkeringat atau berpeluh. Bertangas merupakan satu daripada penjagaan selepas bersalin yang bertujuan untuk menyembuhkan luka, mengecutkan alat sulit wanita dan rahim/peranakan serta menyegarkan badan. Di samping itu, bertangas juga dapat mengeluarkan lebihan darah nifas. Bertangas lazimnya bermula pada hari ketiga berpantang sehingga selesai tempoh berpantang, sekali sehari pada waktu pagi.
Param adalah campuran pelbagai jenis herba dan beras yang dikisar, kemudian dibentuk menjadi ketulan kecil dan dijemur sehingga kering. Param dihancurkan, dicampurkan dengan sedikit air dan disapukan ke seluruh bahagian badan kecuali bahagian payu dara. Pemakaian param diamalkan dua kali sehari selepas mandi semasa tempoh berpantang selama 44 hari.
Berbekam ialah mengeluarkan bahan kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah atau menoreh sedikit pada tubuh seseorang.
Cara tradisi ini dipercayai untuk mengeluarkan bahan kotor daripada badan melalui cara tersebut dengan menggunakan tanduk atau cawan yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah atau ditoreh itu.